Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM teliti cadangan tukar waktu pembersihan sisa kawasan komersial

SHAH ALAM, 14 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneliti cadangan menukar rutin pembersihan sisa pepejal di kawasan komersial seluruh negeri ini.

Pengarah urusannya mengesan kesukaran dihadapi kontraktor membersihkan sisa dari kawasan terbabit pada waktu pagi hingga tengah hari susulan lambakan kenderaan.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata setakat ini pembersihan pada tengah malam hingga awal pagi dilaksanakan di SS14 dan SS15, Subang Jaya selepas diusul wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze minggu lalu.

“Pembersihan menggunakan penyedut pembersihan (vacuum cleaner) ‘Gluton’ dibuat pada tengah malam yang mana ketika itu kawasan komersial agak lapang dan tiada orang sekali gus memudahkan kerja kontraktor.

“Kita baru cuba praktiskan (di SS14 dan SS15). Jika ia berjaya dan beri impak positif, kaedah sama akan dibuat di kawasan komersial lain memandangkan kita juga menerima permintaan di tempat lain,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Ramli menjelaskan perubahan polisi pembersihan itu perlu mengambil kira beberapa faktor bagi memastikan sisa pepejal diurus dengan baik di kawasan terbabit.

“Apabila pembersihan dibuat tengah malam, persekitaran kawasan komersial pada waktu pagi jadi lebih bersih. Cuma kekangannya waktu petang akan ada sampah baru yang dihasilkan daripada peniaga dan orang ramai.

“Jadi kita akan tengok sama ada perlu buat pembersihan pusingan kedua atau tunggu hari berikutnya. Kita akan tengok satu persatu kaedah mana lebih berkesan,” katanya lagi.


Pengarang :