Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop bersama penerima sijil program Fiber Optic Technician (FOT) selepas majlis graduasi peserta program di Auditorium STDC Kuala Selangor pada 13 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI dapatkan sijil EU bagi projek perikanan berskala besar

KUALA SELANGOR, 13 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam proses mendapatkan pensijilan Kesatuan Eropah (EU) bagi projek perikanan berskala besar menerusi projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Ketua Pegawai Operasinya Saipolyazan M Yusop berkata usaha itu bagi memastikan projek tersebut menepati piawaian EU, mendapat pengiktirafan selain membantu memajukan ekonomi hiliran di kawasan utara Selangor.

“Selain pelabuhan kita juga akan menyediakan kawasan hiliran proses hasil perikanan ini yang melayakkan untuk dihantar ke Eropah dan sebab itu perlunya standard penilaian EU.

“Kita yakin apabila wujudnya pembangunan ini kelak ia bukan hanya dapat menarik pelabur luar tetapi dapat memberi peluang penduduk tempatan menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Peserta Program Fiber Optic Technician (FOT) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di sini hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop pada majlis graduasi peserta program Fiber Optic Technician (FOT) dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan SRC Global Sdn Bhd di Auditorium STDC Kuala Selangor pada 13 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menurut Saipolyazan, MBI juga bekerjasama dengan universiti bagi membangunkan projek akuakultur di kawasan terbabit dalam menghasilkan benih ikan bernilai tinggi.

“Kita akan bekerjasama dengan penduduk tempatan yang ingin terlibat dalam bidang perikanan ini bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Jun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan dua projek perikanan berskala besar di Sungai Lang dan Sekinchan bawah SABDA dijangka mampu menarik pelaburan sekitar RM600 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berdampak tinggi menelan belana hampir RM100 juta itu dijangka siap pada 2027 juga bakal mencipta lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun di daerah berkenaan.

Terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), beliau berkata projek itu meliputi pembangunan agro bernilai tinggi bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan jangka panjang untuk pasaran tempatan.


Pengarang :