EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah (tiga, kiri) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mohamad Azhan Md Amir (dua, kiri) serta wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia Robert Gass (empat, kanan) bergambar bersama pada majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada 13 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Unicef iktiraf MBPJ bandar mesra kanak-kanak pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 13 OKT: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengiktiraf Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai bandar raya mesra kanak-kanak pertama di Malaysia.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pengiktirafan itu atas komitmen MBPJ melibatkan kanak-kanak dalam setiap perancangan pembangunan di Petaling Jaya sejak 2019.

“Kita menyayangi kanak-kanak dan platform disediakan kepada mereka untuk berkongsi pandangan dalam perancangan pembangunan di Petaling Jaya. Perkara ini dipandang oleh Unicef kerana kita beri hak sama rata kepada mereka.

“Kemudian pada 2019 kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penganugerahan ini. Bermula dari situ, banyak aktiviti dilaksanakan untuk memenuhi kriteria ditetapkan Unicef,” katanya pada majlis penganugerahan tersebut hari ini.

Pengumuman di Hotel Royale Chulan Damansara di sini dibuat wakil Unicef di Malaysia, Robert Gass. Hadir sama EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Kanak-kanak membuat persembahan teater bertajuk ‘Suara’ sempena majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada 13 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata kejayaan MBPJ selari dengan aspirasi Seri Setia untuk mewujudkan zon keselamatan kanak-kanak di kawasan terbabit.

Beliau juga berharap kejayaan MBPJ menjadi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain (PBT) di Selangor untuk melibatkan kanak-kanak dalam proses pembangunan selepas ini.

“Saya menggalakkan PBT lain mendekati MBPJ dan belajar dengan mereka. Ini kerana menerima pakai pandangan kanak-kanak bagi tujuan pembangunan adalah satu komponen yang sangat baik,” katanya.

Robert pula mengakui bangga dapat bekerjasama dengan MBPJ dalam mengangkat dan memartabat hak kanak-kanak, sekali gus mencapai status tersebut.

Antara inisiatif dilaksanakan MBPJ bagi memenuhi kriteria Unicef termasuk penubuhan Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya dengan membawa suara golongan itu dalam aspek pengurusan bandar.

Selain itu, pelaksanaan kajian Analisis Situasi: Kesejahteraan Kanak-Kanak untuk Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) di Bandaraya Petaling Jaya dan penyediaan Pelan Tindakan Bandaraya Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya.


Pengarang :