Penasihat Menteri Pesuruhjaya Tinggi Uganda di Kuala Lumpur, Kasujja Moses Kalul (tengah) bersama pempamer dari Uganda menunjukkan produk mereka Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pempamer luar negara teruja sertai SIBS, platform tembusi pasaran serantau

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 menjadi platform terbaik kepada syarikat luar negara untuk mempromosi produk mereka ke pasaran tempatan.

Pengusaha keju dari Kazakhstan yang  baru pertama menyertai acara itu berkata, pihaknya menyasarkan untuk menembusi pasaran Malaysia pada tahun ini sebelum mengembangkan ke negara serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Borte Milka, Bokeikhan Abishev. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami difahamkan rakyat Malaysia amat meminati keju, jadi kami mahu memperkenalkan empat produk kami iaitu keju biru, keju kekacang, keju masin, dan keju biasa.

“Semua keju kami adalah halal dan kami berharap dapat masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini juga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Borte Milka, Bokeikhan Abishev kepada Selangorkini.

Sementara itu, penasihat menteri di Pesuruhjaya Tinggi Uganda di Kuala Lumpur teruja apabila negara itu julung kali menyertai sidang perniagaan tersebut.

Penasihat Menteri Pesuruhjaya Tinggi Uganda di Kuala Lumpur, Kasujja Moses Kalule.Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kasujja Moses Kalule berkata pihaknya memperkenalkan produk makanan kebanggaan Uganda iaitu kopi, vanila dan teh kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

“Kami mempunya teh dan vanila berkualiti tinggi. Malah, kopi kami diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Anda boleh mencuba kopi ini dan pasti menyukainya,” katanya.

Bagi wakil kedutaan Vietnam, SIBS adalah landasan terbaik memperkenal produk halal dari negara itu selain bertemu pelabur berpotensi daripada pelbagai sektor.

Menurut penasihat perdagangannya Le Phi Cuong, Vietnam mahu meneroka industri halal dengan lebih luas berikutan ekonomi sektor itu sedang berkembang di seluruh dunia.

Penasihat Perdagangan Kedutaan Vietnam di Malaysia, Le Phu Cuong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami bukan negara Islam dan hanya mempunyai sedikit rakyat Muslim. Tetapi kami sedar peluang industri halal di peringkat global semakin maju dan kami tidak boleh ketinggalan,” katanya.

SIBS 2023 membuka tirai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan sasaran potensi nilai jualan RM1.5 bilion.

Sidang yang memasuki edisi ketujuh sehingga Ahad ini menyediakan hampir 1,050 reruai dengan jangkaan 50,000 pengunjung termasuk pelawat dari luar negara.

Dianjurkan sejak 2015, sidang itu membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

Penasihat Perdagangan Kedutaan Vietnam di Malaysia, Le Phu Cuong (kiri) dan Pengasas Longevity, N. Thi Thanh menunjukkan sijil halal dan produk dari Vietnam pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :