Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANAWAWANCARA

Sidang niaga antarabangsa tarik pelabur, promosi Selangor pintu masuk Asean

SHAH ALAM, 18 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), antara 19 hingga 22 Oktober, menjadi landasan terbaik menarik pelabur bagi mengangkat negeri ini sebagai pintu masuk Asean.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, SIBS kali ketujuh mengetengahkan tujuh kluster teras termasuklah elektrik dan elektronik, sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pelaburan digital dan perkhidmatan logistik.

Dalam soal jawab secara bertulis dengan EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han pada 5 Oktober, beliau menjelaskan SIBS menjangka urus niaga yang diraih bernilai RM1.5 bilion. Teks disediakan DANIAL DZULKIFLY dan NADIAH ZAMLUS.

Pada 2022, SIBS menyaksikan penyertaan 44,342 pelawat, 906 gerai pameran dan menampilkan 104 penceramah. Dengan kehadiran 380 pembeli, acara itu mempunyai potensi nilai transaksi sebanyak RM1.45 bilion. Untuk tahun ini bagaimana jangkaan kehadiran pelawat dan peserta?

Pada tahun ini SIBS dijangka boleh menarik 50,000 pengunjung dan 1,000 gerai. Untuk penyertaan, kita sudah ada peserta dari 60 negara termasuk perwakilan, pelawat perdagangan dan penceramah persidangan.

Jumlah kehadiran lebih kurang sama dengan tahun lalu kerana urusan perniagaan telah pulih seperti biasa selepas wabak Covid-19 melanda dunia. Sementara itu, potensi transaksi kami anggarkan mencecah RM1.5 bilion berbanding RM1.45 bilion pada 2022.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han

Apa sektor utama dan tema SIBS pada tahun ini? Ada sektor tertentu yang akan diketengahkan?

Selangor secara amnya memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama dalam usaha promosi pelaburan. Sektor utama di Selangor adalah elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, pembuatan makanan dan minuman, jentera dan peralatan, sains hayat, pelaburan digital dan perkhidmatan logistik.

Daripada tujuh sektor berkenaan, tumpuan acara sepanjang SIBS antaranya pembuatan makanan dan minuman, sains hayat, pelaburan digital, jentera dan peralatan, logistik serta perkhidmatan.

Selain itu, SIBS bertujuan mempromosikan Selangor sebagai pintu masuk Asean yang mampu menarik pengilang dan pengeksport yang ingin mengembangkan perniagaan di rantau ini melalui Selangor.

Apabila strategi pelaburan negara berkembang, bagaimana SIBS merancang untuk mengikut rentak strategi berkenaan?

Kami melihat tumpuan kerajaan persekutuan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dikeluarkan baru-baru ini tepat pada masanya, sesuai dengan hasrat negara untuk menjadi destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.

Sebagai usaha Kerajaan Negeri, SIBS juga akan menjayakan hasrat dan hala tuju kerajaan persekutuan. Malah pada tahun ini SIBS mengadakan lebih banyak kerjasama dengan kerajaan pusat.

Bagaimanakah SIBS boleh menggalakkan perniagaan tempatan di Selangor dan ekonomi keseluruhannya?

Potensi nilai urus niaga yang dijana melalui sidang kemuncak SIBS ini menunjukkan rundingan dan minat sebenar pembeli dan pelawat perdagangan. Minat itulah akan menjana permintaan daripada rantaian bekalan dan dengan itu membantu mengembangkan aktiviti ekonomi secara keseluruhannya.

Oleh itu, mereka yang belum mempunyai operasi di Selangor mungkin akan memutuskan untuk berbuat demikian bagi mempercepatkan pengedaran dan pergerakan barangan selepas sidang kemuncak berkenaan.

Kerajaan Selangor juga percaya dengan penganjuran acara antarabangsa sepenting ini, ia membantu penjenamaan negeri, mencerminkan kepentingan Selangor kepada Malaysia dan rantau ini sebagai pintu masuk ke Asean.

Orang ramai hadir Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berdasarkan kejayaan lepas, apakah strategi SIBS gunakan untuk memperkukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa dan menarik lebih banyak kumpulan atau pelaburan?

Kami giat mempromosikan SIBS melalui pelbagai saluran termasuk media baharu untuk mendapatkan pengunjung yang lebih meluas. SIBS juga aktif menyertai ekspo antarabangsa sejak tahun lalu, sekali gus membolehkannya berhubung dengan rakan kongsi yang berpotensi dan sebar luas SIBS di pentas dunia.

Di peringkat Asia Tenggara, SIBS telah memulakan jerayawara serantau, bertemu kumpulan perniagaan, jabatan kerajaan serta ejen ekspo untuk mendapatkan kerjasama bagi menarik delegasi untuk menghadiri sidang kemuncak ini.

Bagaimana Kerajaan Negeri meneruskan kerjasama dengan agensi kerajaan dan pemegang taruh untuk menjana lagi pelaburan dan meningkatkan persekitaran mesra perniagaan di Selangor?

Kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan sentiasa menjadi tonggak utama bagi menjana pelaburan dan mewujudkan persekitaran mesra perniagaan di Selangor.

Usaha ini termasuk mengadakan mesyuarat bulanan yang membolehkan semua pihak berkenaan termasuk pelabur membincangkan dan menyelesaikan sebarang cabaran yang mungkin dihadapi semasa menjalankan aktiviti perniagaan di sini.

Pertemuan ini berperanan sebagai ruang dialog terbuka, membolehkan kami menangani hal berbangkit dengan segera dan mempercepat proses. Melalui cara ini, keperluan dan maklum balas pelabur didengar dan Kerajaan Negeri bertindak bagi memajukan keseluruhan langkah pelaburan.

 

Selain SIBS, apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi pembabitan usahawan tempatan dalam pelaburan langsung domestik?

Kerajaan Negeri membina ekosistem mampan yang menggalakkan syarikat pemula dan berteknologi berkembang, sambil membantu kegiatan ekonomi sedia ada meningkatkan produktiviti dan pendigitalan. Kita perlu memupuk usahawan berdampak tinggi yang akan menyumbang kepada daya inovasi, penciptaan pekerjaan dan kekayaan baharu yang memberi kesan kepada masyarakat.

Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Contohnya, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec). Syarikat milik Kerajaan Negeri ini berusaha memacu peralihan digital di Selangor sebagai hab ASEAN. SIDEC memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu e-dagang, syarikat pemula dan pendigitalan perusahaan kecil sederhana (PKS).

Sidec juga memupuk bakat digital dan merapatkan jurang digital di Selangor. Ia juga berhasrat mempercepatkan syarikat pemula negeri ini agar menjadi ikon teknologi serantau.

Sejarah perkembangan SIBS

SIE 2015

ν dikenali Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE)

ν promosi sektor makanan dan minuman

ν tarik 4,316 pengunjung

SIE 2016

ν sidang bandar pintar, perniagaan dan taman industri diperkenal

ν pengunjung seramai 10,689

SIBS 2017

ν mula dijenama kepada SIBS

ν lebih 22,000 pelawat dalam 10 hari penganjuran

ν rekod 8,069 pelawat perdagangan global

ν SIE jadi sebahagian SIBS, ditambah Bandar Pintar Selangor dan Konvensyen Perdagangan Masa Depan serta Persidangan Perniagaan Selangor-Asean

 

SIBS 2018

ν rekod RM204.2 juta nilai transaksi

ν lebih 22,000 pelawat dalam empat hari penganjuran

 

SIBS 2019

ν catat RM447.3 juta nilai transaksi

ν tarik 34,683 pelawat sepanjang empat hari berlangsung

ν acara utama termasuk Ekspo Teh dan Kopi Antarabangsa Malaysia, Persidangan Usahawan Malaysia-China, Festival Masakan Selangor dan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor

 

SIBS 2020

ν dianjur secara maya rentetan Covid-19

ν 170,000 khalayak digital dari 54 negara selama empat hari

ν 51 penceramah, 286 pempamer dan padanan perniagaan bernilai lebih RM1 juta direkod

 

SIBS 2021

ν dianjur secara dalam talian dan bersemuka

ν 25,410 pelawat dan 180,000 pelawat maya sepanjang empat hari

ν RM217.6 juta nilai urus niaga

ν pengenalan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) 2021 dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2021

 

SIBS 2022

ν hampir 50,000 pelawat awam dan perdagangan sepanjang empat hari

ν capai rekod transaksi RM1.45 bilion

ν antara acara Sidang Kemuncak Antarabangsa Selangor untuk Makanan dan Minuman ke-8, Persidangan Perniagaan Asean Selangor ke-6, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor ke-7, Ekspo R&D dan Inovasi Selangor ke-3, dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor ke-2.


Pengarang :