AGENDAJENAYAH

Rasuah lulus ujian memandu, suami isteri disyaki terima bayaran RM400 hingga RM1,000

JOHOR BAHRU, 24 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan sepasang suami isteri yang merupakan pengurus pemasaran dan pengurus pentadbiran sebuah pusat latihan memandu di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah bagi membolehkan calon lulus ujian berkomputer lesen memandu.

Menurut sumber, lelaki berumur 47 tahun dan wanita berusia 43 tahun yang telah berkhidmat di pusat latihan memandu berkenaan sejak 2021 itu, ditahan pada 7 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor di sini.

“Difahamkan, mereka mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,000 kepada mana-mana calon yang berminat untuk menjamin kelulusan ujian komputer bagi mendapatkan lesen memandu,” menurut sumber itu, hari ini.

Kedua-duanya kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Azmi mengingatkan setiap calon adalah wajib menduduki ujian yang telah ditetapkan sebagai satu syarat untuk mendapatkan lesen memandu supaya dapat mempelajari dan memahami peraturan serta undang-undang jalan raya.

“Pihak syarikat yang mengendalikan ujian berkomputer juga perlu memastikan bahawa setiap calon yang menduduki ujian tersebut hadir dan tidak diwakili mana-mana individu lain dan tiada jalan pintas untuk mendapatkan lesen memandu kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Tiga hari lepas (Ahad), SPRM Johor menahan tiga wanita, berusia 23 hingga 34 tahun, dipercayai menerima rasuah membantu calon ujian berkomputer lesen memandu untuk lulus.

— BERNAMA


Pengarang :