Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama para penderma pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Seri Perdana pada 19 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan kekal pendirian sokong perjuangan rakyat Palestin

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Persekutuan sehingga kini kekal dengan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin sebagai negara berdaulat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Malaysia juga menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Israel.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto BERNAMA

“Isu pokoknya solidariti kepada rakyat Palestin diiktiraf negara yang bersimpati sebagai negara berdaulat tetapi tiada tanah air yang telah dijajah dan nyawa dua juta rakyatnya telah diancam.

“Tentera Israel sudah berada di sempadan dan isu pokoknya juga mengeluarkan rakyat daripada tanah Gaza,” katanya ketika menjawab soalan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

“Jadi ini dibuat Perdana Menteri menjadi koordinator bagi pihak ASEAN dan bertemu El-Sisi (Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi), Erdogan (Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan) bawa suara Malaysia.”

Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA

Saifuddin menjelaskan larangan bertakbir dan menayang sepanduk memaparkan imej kecaman kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada himpunan di Dataran Merdeka Ahad lalu adalah budi bicara penganjur dan bukannya pendirian kerajaan.

“Soal boleh atau tidak mengecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita juga jelas. Hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Netanyahu),” katanya.


Pengarang :