EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari merasmikan majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja (MamaKerja) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri tawar insentif RM1,000 untuk wanita bekerja, miliki tiga anak kecil

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Selangor memperkenal insentif penjagaan anak bagi meringankan kos wanita bekerja yang bakal memanfaatkan 5,000 wanita seluruh negeri.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata inisiatif MamaKerja melayakkan wanita bekerja yang mempunyai tiga anak berusia 12 tahun ke bawah menerima wang tunai RM1,000.

Beliau menjelaskan pengenalan inisiatif dengan peruntukan RM5 juta dibuat selepas menyedari beban ditanggung ibu bekerja dalam menampung kos penjagaan anak.

“Insentif ini sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menghantar anak-anak ke pusat pendidikan dan penjagaan yang selamat serta berkualiti,” katanya di Hotel Mardhiyyah di sini.

Insentif tersebut antara manifesto Kerajaan Negeri yang ditawarkan kepada rakyat ketika pilihan raya negeri Ogos lalu.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berucap ketika majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bercakap pada majlis pelancaran insentif itu hari ini, beliau berkata pelaksanaan inisiatif terbabit juga bagi menyokong penglibatan wanita dalam tenaga buruh selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Anfaal menjelaskan pelan pembangunan lima tahun negeri menggariskan kepentingan sektor penjagaan dan penyediaan pusat asuhan berkualiti seperti taska, tadika dan transit sebagai sistem sokongan wanita bagi wanita bekerja.

“Dengan terwujudnya pusat penjagaan berkualiti dapat menjamin keselematan dan pembangunan kanak-kanak, malah ibu dapat bekerja dengan lebih tenang dan meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Insentif MamaKerja boleh dimohon melalui https://mamakerja.selangkah.my/bermula 1 November. Pertanyaan lanjut berhubung insentif ini boleh diajukan di talian Selcare 1-800-22-6600.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di Selangor
  • Berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
  • Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas
Peserta melihat tayangan video montaj ketika majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :