EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin (dua, kanan) merasmikan Program Masyarakat Sihat (MaSIH) dan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Puncak Alam, Kuala Selangor pada 26 Oktober 2023. Turut sama Pengarah HASA Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Cegah penyakit dari awal, galak masyarakat saring kesihatan secara berkala

KUALA SELANGOR, 26 OKT: Kerajaan Negeri akan meningkatkan program kesedaran kesihatan dan galakan saringan secara berkala supaya masyarakat cakna kepentingan pencegahan penyakit di peringkat awal.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menyebabkan peningkatan kos kesihatan sesebuah negara.

“Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2022, kita membelanjakan lebih daripada RM9.65 bilion setiap tahun untuk kos rawatan NCD meliputi rawatan hospital dan pengesanan penyakit.

“Justeru saya sangat hargai usaha Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) bekerjasama dengan Pfizer Malaysia Sdn Bhd mengadakan program Masyarakat Sihat (MaSiH).

“Usaha berterusan ini diharap dapat memupuk perubahan sikap dan anjakan paradigma dalam kalangan masyarakat untuk lebih peka dan mengambil berat mengenai kesihatan mereka,” katanya dalam ucapan perasmian program MaSiH dan sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 di HASA Puncak Alam di sini, hari ini.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berucap merasmikan Program Masyarakat Sihat (MaSIH) dan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Puncak Alam, Kuala Selangor pada 26 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada program sama turut dilancarkan aplikasi MaSiH dibangunkan HASA, UiTM yang mampu meningkatkan dampak program komuniti khususnya berkaitan pengurusan data kesihatan yang lebih sistematik.

Sementara itu, Pengarah HASA Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim berkata program MaSiH adalah kerjasama strategik melibatkan 12 siri program yang berasingan di Kuala Selangor dengan yang pertama sudah dilaksanakan pada 7 Oktober lalu.

“Diharap ini adalah satu titik permulaan kerjasama lebih erat untuk masa hadapan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutama mengenai penyakit jantung yang masih menjadi pembunuh nombor satu masyarakat di dunia dan Malaysia,” katanya.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin (dua, kiri) melawat pameran selepas merasmikan Program Masyarakat Sihat (MaSIH) dan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Puncak Alam, Kuala Selangor pada 26 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Fadzriatul Hafinaz Alias (kiri) memberi penerangan kepada pelajar mengenai mesin defibrilator sempena Program Masyarakat Sihat (MaSIH) dan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023 di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Puncak Alam, Kuala Selangor pada 26 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :