Pemain Gombak FA (kiri) menghalang kemaraan pemain Ingress KL FC dalam perlawanan kelima Liga Juara Selangor di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 28 Oktober. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: Najmi SFFC, Ingress KL catat kemenangan pertama

SHAH ALAM, 31 OKT: Tebuan FC Kg Pinang melonjak ke kedudukan kedua kumpulan A selepas membelasah KKB Brotherhood FC 3-0 dalam perlawanan kelima Liga Juara Selangor (SCL 2023) pada Sabtu lalu.

Skuad kendalian Muhd Safian membuka jaringan di Arena MBSJ, Subang Jaya seawal minit keenam menerusi Badri Adnan diikuti dua gol babak kedua oleh Md Shahrul pada minit ke-62 dan Amir Firdaus di penghujung permainan.

Pendahulu kumpulan, Klang Frenz United FC gagal menjarakkan jurang mata selepas tewas kali pertama 0-1 kepada Ampang Ukay Positive FC hasil jaringan tunggal Mohamed Haikal pada minit ke-43.

Pasukan tercorot kumpulan Ingress KL FC menafikan impian Gombak FA untuk naik ke persada liga dengan kemenangan tipis 1-0 untuk mengutip tiga mata pertama musim ini.

Kru Port Klang FC dan Kg Bharu Boss pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Sementara itu, Sijangkang City FC berjaya merampas kedudukan pendahulu kumpulan B daripada NPNG Damansara Perdana selepas membelasah SFC Youth 3-0 semalam.

Penyerang Manaf Mamat muncul wira apabila meledak hatrik pada babak kedua sekali gus membantu pasukannya mengumpul 10 mata.

Skuad bimbingan Micheal Palani, NPNG Damansara Perdana pula di kedudukan kedua, dengan lapan mata dan kekal tanpa kalah selepas terikat 1-1 menentang AAK FC Puncak Alam.

Najmi SFFC Kota Damansara pula melakar kemenangan pertama liga membelasah Kajang Northern Merbau FC 4-1 hasil jaringan Ibrahim Suhaib, Muhd Haikal, Ammar Rasydan dan gol lewat permainan Ermy Syazwan.

Satu lagi perlawanan antara Kelana United dan MBSA FC berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.


Pengarang :