Pemandangan dari udara kelihatan barisan kontena yang dieksport masuk ke Malaysia dan kemudahan yang tersedia di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang. Foto westportholding.com
AGENDANASIONAL

Malaysia perluas destinasi eksport, tidak hanya tumpu pasaran tradisional

SHAH ALAM, 31 OKT: Malaysia meluaskan destinasi eksport dengan tidak hanya menumpukan pasaran tradisional bagi mengurangkan kesan penurunan nilai eskport negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri turut melaksana pelbagai strategi memitigasi trend penurunan tersebut.

“Langkah itu menunjukkan peningkatan terutama di pasaran Asia Tengah dan Latin Amerika dengan tahun ini (masing-masing) meningkat 24.7 peratus dan 2.3 peratus.

“Selain itu, (ia dibuat) menerusi rangkaian 46 pejabat luar negara melalui pameran perdagangan seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas),” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berhubung strategi kerajaan bagi memitigasi nilai eksport negara di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas hasil lawatan kerja ke Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi baru-baru ini, Anwar berkata ia berjaya menarik komitmen pelaburan berbilion ringgit.

Jelasnya, lawatan ke New York yang menumpukan syarikat besar seperti peranti perubatan, sektor elektrik dan elektronik serta jentera dan peralatan menarik komitmen pelaburan RM4.7 bilion.

“UAE lebih berhasil kerana sehingga hari ini dua rombongan UAE ke Malaysia untuk ambil tindakan susulan. Ini paling pantas termasuk projek tenaga boleh baharu berjumlah RM38.1 bilion.

“Ini bukan memorandum persefahaman (MoU) tetapi komitmen dan (ada) permulaan projek. Selain itu, industri aeroangkasa iaitu baik pulih dan selenggara jet perniagaan RM710 juta,” katanya.

Tambahnya lagi, syarikat Aramco pula bersetuju menambah pelaburan di Pengerang, Johor dan memutuskan supaya mesyuarat diadakan di Malaysia bersama tiga menteri utama kerajaan Arab Saudi.


Pengarang :