Pengunjung memilih barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Meru di padang hadapan Balai Polis Pekan Kapar pada 31 Oktober 2023. Foto Nas Norziela Nasbah/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Orang ramai teruja jualan murah bantu jimat perbelanjaan harian

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 31 OKT: Walaupun sibuk, seorang penduduk Meru meluangkan masa membawa jirannya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) membeli barangan keperluan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Meru, hari ini.

Malah Muhammad Zulhelmi Mohd Zabar, 32, turut membayar barangan jirannya itu iaitu ayam, telur dan beras berjumlah RM33.

Menurutnya, dia membawa jirannya itu yang mahu membeli barangan dapur pada harga murah.

“Ini kali kedua saya datang ke JER, kali ini saya bawa jiran yang mahu beli barang dapur.


Muhammad Zulhelmi Mohd Zabar, 32, (baju coklat) membantu jirannya (baju biru) memilih barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Meru pada 31 Oktober 2023. Foto Nas Norziela Nasbah/SELANGORKINI

“Program ini sangat membantu pelbagai peringkat masyarakat, selain murah barangan juga berkualiti,” katanya.

Suri rumah, Angela Pereira, 55, teruja kerana pertama kali mengunjungi JER malah dia datang jam 9 pagi untuk mendapatkan nombor giliran.

“Saya dapati harga yang dijual jauh lebih murah berbanding harga di luar.

“Saya berbelanja barangan asas seperti ayam, telur dan beras. Ketiga-tiga barang ini bagi saya sangat penting memandangkan harga barang semakin meningkat,” katanya.

Warga emas Jemali Tambah,64, berkata dia juga teruja kerana dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian ketika mengunjungi jualan murah itu.

“Saya tidak pernah berbelanja di sini dan bila lihat harga beras RM13, telur ayam RM10, tidak hairanlah ramai beratur seperti pagi ini.


Warga emas Jemali Tambah,64, ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Meru pada 31 Oktober 2023. Foto Nas Norziela Nasbah/SELANGORKINI

“Syukur dapat berbelanja di sini. Harap selepas ini lebih banyak program seperti ini sekali gus dapat membantu warga emas dan B40 seperti saya,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)  menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :