Penghantaran pertama barangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin tiba di Lapangan Terbang Tentera El-Arish Mesir melalui penerbangan kargo pada 3 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bantuan kemanusiaan Ops Ihsan untuk Palestin tiba di Mesir

Daripada Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

EL-ARISH (Mesir), 4 NOV: Pesawat kargo 9M-WCA yang membawa bantuan kemanusiaan awal peringkat pertama sumbangan ke Palestin menerusi Ops Ihsan, selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish, di sini pagi ini.

Pesawat yang disewa khas Kerajaan Malaysia itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam, tiba di sini kira-kira 8.50 pagi (2.50 petang waktu Malaysia).

Melibatkan perjalanan sejauh 7,688 kilometer yang mengambil masa 15 jam, penerbangan pesawat kargo itu terlebih dahulu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India dan seterusnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sharjah (Emiriah Arab Bersatu), sebelum tiba di sini.

Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu, diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Lapangan Terbang Tentera El-Arish yang terletak dalam wilayah Sinai Utara, merupakan lapangan terbang yang berhampiran dengan sempadan Rafah, iaitu kira-kira 50 kilometer dan juga merupakan salah satu pusat untuk menerima bantuan yang diselia di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Pada peringkat awal, bantuan ini dijadualkan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, namun disebabkan lapangan terbang itu tidak lagi beroperasi sejak tahun lepas, pasukan Ops Ihsan diarah untuk mendarat di lapangan terbang tentera.

Difahamkan sebaik bantuan ini melepasi sempadan Rafah, ia akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di sempadan Nitzana, untuk diagihkan.

Ops Ihsan digerakkan oleh Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan MAPIM sebagai koordinator utama di samping 38 badan bukan kerajaan yang lain.

Semalam pelepasan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta ketua perwakilan asing.

Penerbangan penghantaran kedua sebanyak 20 tan barangan bantuan, dijadualkan pada 10 November.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober, telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

– BERNAMA


Pengarang :