Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama selepas merasmikan majlis perasmian Kolam Deepavali 2023 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB rasmi hiasan rangoli di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini merasmikan hiasan lantai tradisional rangoli atau kolam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena sambutan Deepavali.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melihat kolam Deepavali yang dihias di pintu masuk bangunan Kerajaan Negeri.

Amirudin turut menyampaikan bakul hadiah berbentuk makanan kepada 20 kakitangan pembersihan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri yang bakal menyambut Deepavali minggu ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bakul makanan kepada pekerja pembersihan SUK sempena perayaan Deepavali selepas merasmikan majlis perasmian Kolam Deepavali 2023 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Majlis perasmian turut dihadiri EXCO Usahawan Najwan Halimi, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu, EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah.

Ditemui pada majlis perasmian, Najwan berkata bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri diserikan dengan kolam Deepavali setiap tahun sebagai tanda berkongsi kegembiraan menyambut perayaan itu.

EXCO Usahawan Najwan Halimi bercakap kepada media selepas majlis perasmian Kolam Deepavali 2023 di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kolam Deepavali ini merupakan inisiatif Hijrah Selangor dan dihias sendiri usahawan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham). Ini sebahagian usaha dalam berkongsi kegembiraan sempena sambutan Deepavali.

“Sumbangan bakul makanan juga diberikan kepada pekerja pembersihan bagi menzahirkan keprihatinan dan cakna dalam menyambut setiap perayaan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Papparaidu pula menyifatkan hiasan kolam itu adalah usaha Kerajaan Negeri mengambil berat terhadap semua rakyat tanpa mengira semua kaum.

EXCO Perpaduan Papparaidu Veraman bercakap kepada media selepas majlis perasmian Kolam Deepavali 2023 di Bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hiasan kolam Deepavali ini sejak dari zaman dahulu dan masih diteruskan sehingga kini dengan asal usul serta latar belakang tersendiri.

“Inisiatif ini bagus untuk rakyat terus bersatu padu dan saling hormat-menghormati satu sama lain,” katanya.

Sempena Deepavali, penganut Hindu lazimnya akan menghiasi kediaman masing-masing dengan kolam rangoli sebagai tanda kesejahteraan kepada setiap isi rumah tersebut.


Pengarang :