Ahli Majlis Zon 9 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ramu Nadarajan memantau keadaan pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketika hujan di Taman Sri Muda pada 6 November 2023. Foto Facebook Ramu Nadarajan
AGENSISELANGOR

MPP Zon 9 sering pantau kawasan, siap siaga hadapi bah di Taman Sri Muda

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Pewakilan Penduduk Zon 9 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sering memantau lokasi berisiko banjir di Taman Sri Muda bagi mengelakkan kejadian dua tahun lalu berulang.

Ahli Majlis Zon 9 Ramu Nadarajan berkata pihaknya juga sudah membuat persediaan awal termasuk bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika Monsun Timur Laut.

“Selain bekerjasama dengan 300 sukarelawan Team Selangor, MBSA juga sudah menyediakan pam air sementara di Persiaran Budiman.

“Kami juga dimaklumkan, pam air milik Jabatan Pengairan dan Saliran juga berfungsi dengan baik ketika ini,” katanya ditemui selepas program sumbangan prihatin MBSA kepada penduduk Taman Sri Muda sempena Deepavali.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi melihat bot polis yang dipamer pada majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti 390 lokasi berisiko banjir dengan Hulu Langat mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 78 dan Klang (65).

Agensi itu turut memaklumkan 51 kawasan turut berisiko bah di Kuala Selangor, diikuti Petaling (44), Gombak (33), Kuala Langat (30), Sabak Bernam (20) dan Hulu Selangor (15).

Pada 4 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Selangor membuat persediaan awal di semua peringkat bagi mengurangkan dampak kehilangan nyawa dan harta akibat banjir.


Pengarang :