Ketua Pegawai Eksekutif SIC Saharom Mohni (tiga, kiri) bersama Pengarah Urusan RDA Ventures Raymond D’Cruz (tiga, kanan) menandatangani memorandum perjanjian (MOA) di antara Selangor Industrial Corporation (SIC) dan RDA Ventures sambil di saksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tengah) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian (MOA) di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor jalin kerjasama dengan syarikat Singapura bina pusat data bernilai lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 9 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bekerjasama dengan syarikat dari Singapura, RDA Ventures Pte. Ltd bagi membangunkan tiga pusat data di Cyberjaya, Sepang.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata projek mencecah RM1 bilion dikendalikan anak syarikat, Selangor Industrial Corporation (SIC) bertujuan memenuhi permintaan global seiring kepentingan industri berkenaan.

Jelas Dato’ Mahmud Abbas, SIC akan bertanggungjawab menarik pelanggan termasuk syarikat luar negara manakala RDA Ventures menyediakan kepakaran pembinaan, selenggara serta pengoperasian.

“Pusat data ini dibangunkan di sebahagian 34 ekar tanah milik PKNS. Pembangunan dalam tempoh lapan tahun merangkumi tiga fasa dan dijangka berjalan pada suku pertama tahun depan.

“Inovasi terkini akan melengkapkan pusat ini selain menggunakan kecekapan tenaga optimum, reka bentuk tahan lasak, kos efektif dan pengurusan fasiliti yang boleh dipercayai,” katanya hari ini.

Berucap pada majlis menandatangani memorandum perjanjian antara SIC dan RDA Ventures, Mahmud berkata pusat itu akan disesuaikan dengan kehendak pelanggan sesuai dengan keperluan semasa.

“Pusat juga dibangunkan dengan mengambil kira tenaga hijau serta reka bentuk mesra alam demi memastikan alam sekitar terpelihara,”katanya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif SIC berkata usaha sama yang berjalan sekurang-kurangnya 30 tahun itu bakal menawarkan peluang kerja termasuk tenaga mahir dalam bidang elektronik, sains komputer, statistik dan pentadbiran.

Saharom Mohni berkata pusat terbabit akan disertai agensi besar antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Penyertaan pelbagai syarikat terkemuka termasuk luar negara turut bertujuan memastikan keselamatan maklumat dan data kepada pelanggan terjamin.

“Pusat ini akan menjadi sejarah kepada SIC sebagai syarikat yang diberi mandat untuk mengendalikan Bandar Pintar di Selangor Cyber Valley,” katanya.


Pengarang :