Keadaan jalan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu yang dinaiki air ekoran hujan lebat semasa tinjauan pada 20 November 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Terengganu mula dilanda banjir, satu pusat pemindahan sementara dibuka

KUALA TERENGGANU, 20 NOV: Kuala Nerus menjadi daerah pertama di Terengganu yang dilanda banjir pada musim Monsun Timur Laut kali ini apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Tok Jembal pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini 155 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan seawal 4 pagi.

Kenyataan itu turut memaklum jumlah mangsa dijangka terus meningkat dan lebih banyak PPS akan dibuka memandangkan hujan masih berterusan dan proses pemindahan mangsa sedang dijalankan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata tiga sekolah di Kuala Terengganu terjejas banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Losong dan SK Tok Dir.

Beliau berkata kawasan sekolah berkenaan telah dinaiki air dan pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak membenarkan murid hadir ke sekolah atas sebab keselamatan.

Bagaimanapun semua guru dan murid diarahkan untuk mengikuti proses pembelajaran seperti biasa melalui mod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sedang memantau perkembangan terkini di sekolah-sekolah lain kerana hujan masih berterusan.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Parit Utama di Padang Kemunting di Kuala Nerus merekodkan paras 3.73 meter melepasi paras amaran 3.6 meter.

– BERNAMA


Pengarang :