Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Balairaya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bukit Melawati, Kota Anggerik, Banting lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke tiga lagi lokasi esok, bermula jam 10 pagi.

PKPS menerusi Facebook memaklumkan, Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Kg Tg Keramat (Bukit Melawati), Seksyen U15, Kg Bukit Cherakah, Shah Alam (Kota Anggerik) dan pekarangan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat (Banting).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai membawa pulang barangan keperluan asas yang dibeli pada harga murah sempena program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Taman Medan di Masjid As-Salam, Taman Medan pada 5 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :