Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Lions Convention menanam lebih 50 batang pokok pelbagai spesis di Taman Warisan, Setia Alam.
AGENSISELANGOR

PKNS, Lions Convention tanam pokok pelbagai spesies di Taman Warisan Setia Alam

SHAH ALAM, 30 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Lions Convention menanam lebih 50 batang pokok pelbagai spesies di Taman Warisan, Setia Alam.

Agensi tersebut memaklumkan program penghijauan itu dengan pertubuhan bukan kerajaan itu bertujuan mengukuhkan kesedaran dan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.

“PKNS dan Lions Convention bersama melaksanakan program ini sebagai langkah positif dalam menjaga keindahan alam semulajadi sekali gus mencipta ruang hijau yang bermakna untuk masyarakat setempat.

“Program ini juga bertujuan menyokong agenda nasional melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok menjelang 2025 dan Kempen Penanaman 26 juta pokok di Selangor,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menerusi kenyataan sama, antara pokok yang ditanam di taman seluas 13.92 ekar itu adalah Tabebuia pentaphylla (Tecoma), Lagerstroemia langkawinensis (Bungor) dan Eucalyptus degupta (Eucalyptus).

Upacara penanaman pokok itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais diiringi Pengerusi Jawatankuasa Lions Convention Michel Yee.

Pembangunan Taman Warisan bagi fasa pertama seluas 8.46 ekar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk taman papan luncur, padang bola, gelanggang serbaguna, plaza dan tiga jenis taman permainan.

Manakala, bagi fasa kedua pembinaan Taman Warisan dijangka bermula Disember ini meliputi keluasan 5.46 ekar, dengan kemudahan seperti trek laluan joging, taman permainan bersepadu dan tempat berteduh.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Lions Convention menanam lebih 50 batang pokok pelbagai spesis di Taman Warisan, Setia Alam pada 29 November 2023. Foto PKNS

Pengarang :