Orang ramai membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kota Damansara di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan dapur diteruskan ke tiga lokasi esok

SHAH ALAM, 2 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di tiga lagi lokasi esok.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan lokasi berkenaan adalah di tapak pasar malam Batu Tiga (Batu Tiga), Mini RTC Sungai Lang Tengah (Tanjung Sepat) dan pekarangan pejabat Persatuan Penduduk Taman Pinggiran Pelangi (Rawang).

Inisiatif JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :