Orang ramai yang hadir pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Bukit Antarabangsa di Dewan MPKK Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang pada 27 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Jualan murah barangan dapur bermula Isnin di lokasi terpilih

SHAH ALAM, 12 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kembali bersambung mulai 15 Januari ini di lokasi terpilih.

“JER akan berehat seketika bermula 1 Januari hingga 14 Januari. JER akan kembali beroperasi pada Isnin, 15 Januari,” maklum agensi itu di Facebook.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 2 Januari, Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata program jualan murah barangan asas itu akan diakan di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, lokasi tersebut tidak termasuk dengan program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :