SABAK BERNAM, 12 JAN: Langkah mempromosi Selangor menerusi pelbagai program termasuk lawatan ejen pelancongan dari luar negara mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.
Pemangku jabatan pembangunan produk dan pakej Tourism Selangor berkata menerusi inisiatif terbabit, lokasi menarik yang ada di negeri ini dapat dihebahkan kepada penduduk luar sekali gus berpotensi untuk dikunjungi.
“Ini merupakan kumpulan pertama dari luar negara yang datang melihat dan merasai pengalaman tempat menarik di sini. Kebanyakan mereka memberi maklum balas positif. Dalam masa sama agensi dapat menambah baik apa yang diperlukan mereka.
“Untuk kumpulan ini, mereka menyukai makanan laut dan teruja dengan masakan disediakan. Mungkin kita akan teliti untuk mempromosikan kedai makanan laut atau hasil laut kering pada masa akan datang,” kata S Renuga Devi kepada SelangorKini.
Sementara itu peserta lawatan, Hong Yan berkata makanan laut yang disediakan di sini lebih segar berbanding kawasan mereka di Betong, Thailand.
“Isi ikan, udang, sotong sangat segar dan manis kerana berhampiran laut. Kawasan kami terkenal dengan gunung gantang jadi sukar untuk dapatkan makanan laut segar.
‘Saya yakin penduduk Betong pasti teruja dengan menu-menu laut ini selain mempunyai pelbagai pilihan. Jenis masakan juga sangat sedap,” katanya.
Bermula kelmarin hingga hari ini, seramai 40 ejen pelancongan negara gajah putih itu menjadi kumpulan pertama dari luar negara mengadakan lawatan ke Anjung Utara dari Kuala Selangor ke Sabak Bernam.
Antara kawasan dikunjungi Bukit Malawati, galeri padi, Pantai Redang, Sky Mirror dan Pusat Konservasi Kelip-kelip.