Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura, sijil serta piala kepada wakil Pak Tam Katering Sdn. Bhd yang menerima Anugerah Usahawan Global ketika majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri sedia ekosistem kukuh, lahirkan ribuan usahawan berjaya

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor menyediakan ekosistem keusahawanan yang kukuh menerusi pelbagai program pembangunan dan pemberdayaan usahawan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menyedari pentingnya ekosistem sihat dalam kitaran perniagaan segala keperluan usahawan di negeri ini ditambah baik dan diperkasa dari semasa ke semasa.

Mengambil contoh kejayaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melahirkan ribuan usahawan berjaya katanya, ia berhasil menerusi jaminan dan program pembangunan usahawan yang tersusun.

“Contohnya PKNS melaksanakan program mentor-menti, latihan dan didikan kepada usahawan daripada segenap aspek termasuk menimbulkan minat keusahawanan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini kerana kita sedar, bidang keusahawanan itu tidak boleh terhenti di situ saja perlu ada sokongan dan dorongan untuk mendaki hingga ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Berucap merasmikan majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam malam tadi, Amirudin berkata usahawan perlu berani meneroka pasaran dan bidang lebih luas untuk mengembangkan produk mereka.

“Di Selangor kita sediakan pelbagai program pembangunan usahawan contohnya pembangunan usahawan mikro, Hijrah Selangor, malah Lembaga Zakat Selangor turut menyediakan program keusahawanan untuk asnafnya keluar dari kemiskinan.

“Usahawan perlu bijak ambil peluang dan manfaatkan segala yang ada. Landskap perniagaan banyak berubah jika dulu tiada perniagaan bersifat rentas sempadan tetapi kini semuanya di hujung jari melalui platform dalam talian,” katanya.

Amirudin berkata, Selangor setakat ini melahirkan lebih 56,000 alumni yang telah menyertai pelbagai program pembangunan usahawan negeri dan sudah menempa nama serta kejayaan membanggakan.

Terdahulu, pada majlis itu 12 usahawan PKNS menerima pengiktirafan dan penganugerahan atas pencapaian serta kecemerlangan masing-masing dalam bidang keusahawanan.

Majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Anugerah membabitkan tiga kategori iaitu Anugerah Khas (Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023) dan Anugerah Program Bermodul PKNS (Anugerah Usahawan Terbaik BIZUP, GROW dan GROW PLUS).

Selain itu kategori Anugerah Cemerlang adalah anugerah usahawan PKNS (luar Selangor), anugerah industri makanan/minuman (pembuatan), anugerah industri makanan/minuman (perkhidmatan), anugerah industri perkhidmatan, anugerah industri peruncitan, anugerah industri pembuatan, anugerah usahawan global (eksport) serta anugerah usahawan premium.

PKNS turut memberi anugerah penghargaan kepada rakan agensi iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corp, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agro Bank.

Antara usahawan yang hadir pada majlis Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :