Orang ramai membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Kota Damansara di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi jualan murah barangan dapur di lapan lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 1 FEB : Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menjual barangan asas pada harga murah diteruskan ke lapan lagi lokasi pada Sabtu dan Ahad ini.

Bermula 10 pagi, jualan murah diadakan di Kampung Olak Lempik (Sungai Pelek), Masjid Al-Istiqamah Batu 13 (Seri Serdang), Selayang Baru (Sungai Tua) dan Jalan Ramal 2, Taman Ramal Indah (Sungai Ramal) pada Sabtu.

Manakala, keesokan harinya diadakan di Dewan Orang Ramai Tok Muda (Sementa), Dataran Niaga Serendah (Batang Kali), Kampung Dato Lee Kim Sai (Rawang) dan Kampung Sepakat (Bukit Melawati).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :