Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan sempena Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di tapak Ppsar tani Kampung Melayu Subang pada 2 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di lebih 3,000 lokasi beri manfaat kepada jutaan penduduk

SHAH ALAM, 14 FEB: Hampir RM50 juta nilai jualan diperoleh menerusi penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lebih 3,000 lokasi tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jumlah itu merangkumi subsidi RM18.1 juta daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Objektif utama jualan murah barangan asas ini untuk bantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dengan menawarkan harga jualan 30 peratus lebih rendah dari pasaran.

“Kita akan teruskan lagi tahun ini termasuk jualan mega ketika musim perayaan. Program ini beri manfaat kepada jutaan penduduk,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ketika dihubungi.

JER yang dianjur sejak dua tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Hujung tahun lalu, PKPS turut menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian JER.


Pengarang :