Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

28,858 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023

GAZA, 18 FEB: Puluhan lagi rakyat Palestin disahkan terbunuh dalam tempoh beberapa jam lepas akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza yang kini masuk hari ke-135, menurut sumber tempatan dan perubatan.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bandar dan kem pelarian di tengah Gaza menjadi sasaran serangan dengan ramai orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh manakala yang lain cedera dalam serangan udara dan meriam tentera rejim.

Pewarta WAFA melaporkan kira-kira 40 orang awam terbunuh, manakala puluhan lain cedera dalam serangan tentera penceroboh ke atas beberapa rumah di bandar Al-Zawayda, bandar Deir al-Balah, dan kem pelarian Nusseirat.

Sementara itu di Khan Yunis, selatan Gaza, kira-kira 20 orang awam terbunuh dalam beberapa siri serangan Israel yang menyasarkan beberapa rumah penduduk di dalam dan sekitar bandar itu.

Pada masa sama, pesawat pejuang Israel menyerang sembilan rumah di bandar Rafah, selatan wilayah terkepung itu mengakibatkan 13 orang awam maut dan puluhan lagi cedera.

Kapal tentera laut Israel turut melepaskan tembakan ke arah pantai Rafah, serentak dengan tembakan meriam yang menyasarkan bahagian selatan dan timur bandar itu.

Di Gaza, serangan udara Israel menyasarkan bangunan kediaman di kawasan perumahan Sheikh Radwan, Al-Nasr, Al-Zaytoun, Al-Rimal, dan Al-Sabra, mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 10 orang awam.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan 28,858 penduduk Palestin terbunuh manakala 68,677 lagi cedera.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :