AGENDAJENAYAH

Lelaki ditahan pukul ibu, anak saudara dengan penyapu, topi keledar

KUANTAN, 18 FEB: Polis menahan lelaki dipercayai memukul ibu dan anak saudara perempuannya menggunakan penyapu dan topi keledar di hadapan sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Mentakab, dekat Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pagi tadi, berhampiran rumahnya kerana dikatakan melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian pada 4.30 petang semalam.

“Suspek yang tidak bekerja dipercayai memukul tangan kanan anak saudaranya dengan menggunakan penyapu semasa mangsa datang ke rumah itu bersama ibu suspek dan seorang wanita Indonesia untuk membersihkan rumah.

“Tindakan suspek menyebabkan mangsa bertindak keluar dari rumah, namun suspek didakwa mengikut mangsa sebelum memukulnya di belakang kepala dan badan menggunakan topi keledar di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata ibu suspek yang berusia 77 tahun cuba membantu mangsa yang berusia 31 tahun dengan memukul suspek menggunakan penyapu, namun suspek dikatakan merentap penyapu itu yang kemudiannya digunakan untuk memukul muka ibunya.

Kejadian menyebabkan ibu suspek cedera muka manakala anak saudaranya cedera tangan, bahu kanan serta bahagian belakang kepala.

Mazlan berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit tinggal di rumah itu selepas ibunya memilih untuk keluar dan menetap di rumah anaknya yang lain di taman perumahan berhampiran rumah berkenaan.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat motif suspek berbuat demikian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :