Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts Theartre, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Perubahan iklim jejas tanaman, negeri laksana projek jamin bekalan makanan

PETALING JAYA, 22 FEB: Kerajaan Selangor berusaha menyediakan jaminan bekalan makanan bagi memastikan rakyat tidak terjejas dalam berdepan perubahan iklim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyimpanan stok makanan negeri bermula tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM50 hingga RM60 juta bagi bekalan sehingga tempoh enam bulan.

“Perubahan iklim bukan hanya berkaitan bencana tetapi kita ada masalah lain iaitu bekalan makanan. Perubahan iklim yang mendadak beri kesan kepada tanaman di seluruh dunia.

“Sebelum ini masalah kitaran makanan bukan hal yang dibimbangi. Tetapi sekarang kita kena sediakan stok lebihan kerana kesan kekurangan beras dan bekalan ayam sebelum ini,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani poster ketika majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts Theartre, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts di sini, malam tadi. Turut hadir EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Amirudin menambah isu kekurangan bekalan makanan tidak boleh dipandang remeh berikutan ia turut memberi kesan terhadap tumbesaran kanak-kanak.

Jelas Ahli Parlimen Gombak itu Selangor berdepan isu kanak-kanak kekurangan nutrisi terutamanya di kawasan penempatan penduduk di perumahan kos rendah.

“Di kawasan perumahan kos rendah kita ada beberapa masalah tumbesaran kanak-kanak. Kekurangan gizi memberi kesan terhadap otak dan cara mereka berfikir. Inilah kesan malapetaka iklim,” katanya.

Buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau diterbitkan pertubuhan bukan kerajaan Forum Selangor dan Eco Lestari Strategy bagi membangkitkan kesedaran dalam menangani isu alam sekitar.

Buku tersebut menghimpunkan karya beberapa penulis antaranya aktivis Hishamuddin Rais; kolumnis akhbar dalam talian @Green, Adi Satria Ahmad; dan pengarah filem dokumentari Yap Sean Yi.

Buku yang dijual pada harga RM40 dan komik pada harga RM20 boleh dibeli secara dalam talian menerusi KawahBuku, Ilham Books dan di Eco Lestari Strategy.


Pengarang :