HULU SELANGOR, 23 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli bergotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah, Ampang Pechah di sini.
Ketibaan Tengku Amir Shah sekitar 7.45 pagi tadi disambut EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor Mohd sempena Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/image_6487327-51-500x314.jpg.webp)
Aktiviti selama satu jam itu disertai hampir 300 individu termasuk pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak dan Kolej Darul Quran, Hulu Selangor selain beberapa kakitangan dari agensi kerajaan antaranya MPHS, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Sementara itu, pelajar IKBN Pertak Nurafiqah Dhaniyah Faridridhzuan, 20, akui tidak sabar untuk menyertai gotong-royong bersama Tuanku hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/image_6487327-48-500x327.jpg.webp)
“Kami tahu sejak minggu lepas Raja Muda akan menyertai program ini di sini, perasaan sangat teruja dan tidak sabar untuk jumpa Baginda,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kolej Darul Quran Muhammad Muaz Jamal, 21, turut menyifatkan aktiviti gotong-royong hari ini unik dan menggembirakan apabila turut disertai Tuanku.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/image_6487327-49-500x312.jpg.webp)
“Gotong-royong itu perkara biasa dan memang kami selalu buat tetapi hari ini lain daripada lain apabila Tuanku turut mencemar duli sertai program ini. Paling seronok dapat berswasfoto dengan Tuanku,” katanya.
Terdahulu, Tengku Amir turut menunaikan solat subuh di Masjid Warisan Al-Hidayah, Taman Ampang Pechah dan tengah hari ini dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Bharu.
Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor yang membuka tirai Rabu lalu di daerah ini bermula dengan tuanku bertemu rakyat di Jalan Mat Kilau di pekan Kuala Kubu Bharu kemudian berangkat melawat lorong seni yang dikenali Kuala Kubu Bharu Back Lane Art Gallery.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/image_6487327-46-500x321.jpg.webp)
Semalam, Tengku Amir berangkat ke Majlis Perasmian Gagasan Rumpun Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Sebelum ini, Amirudin ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor dengan peruntukan RM4.5 juta bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.