EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan Dato’ Rizam Ismail menjawab soalan pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Negeri belum cadang warta kampung tradisi sebagai tapak warisan

SHAH ALAM, 5 MAC: Tiada cadangan untuk mewartakan mana-mana kampung tradisi di Selangor sebagai tapak warisan, maklum EXCO kemajuan desa.

Dato’ Rizam Ismail berkata ia termasuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Bagaimanapun, pada masa depan Kerajaan Negeri terbuka sekiranya terdapat permintaan dan keperluan serta akan meneliti cadangan tersebut.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada jabatan dan agensi berkaitan jika ada kampung tradisi yang dilihat layak dan sesuai untuk memohon pengiktirafan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembangunan desa di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Rizam menjelaskan bagaimanapun perkara untuk mewartakan kampung baru tradisional itu merupakan cadangan pihak Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming).

“Sesiapa sahaja boleh memohon kepada Unesco jadi soal penerimaan dan pelaksanaan itu akan dinilai oleh Unesco, jadi bagi saya tidak salah untuk pemimpin memohon tempat yang dikira sesuai untuk dilaksanakan,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, Kor Ming mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Susulan itu, kata Naib Pengerusi DAP berkenaan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor akan membincangkan perkara ini dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak 1948.


Pengarang :