Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) melakukan gimik perasmian pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Susun semula pelan operasi, Air Selangor dianggar jana pendapatan RM200 juta setahun

SHAH ALAM, 6 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dianggar menjana pendapatan sehingga RM200 juta setahun selepas menyusun semula perancangan operasi.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu termasuk menaikkan tarif air demi mencipta kembali keuntungan kesan daripada pembiayaan pinjaman projek penggantian paip lama yang dibuat sebelum ini.

“Dianggarkan menjelang 2029, syarikat mampu jana pendapatan sehingga RM200 juta setahun selepas susun semula pelan perancangan termasuk pelaksanaan langkah kenaikan tarif yang dikemukakan.

“Semua pinjaman yang dibuat dan dicadangkan Hulu Kelang (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ketika menjadi Dato’ Menteri Besar akan mula dibayar 2031 cara kontra bernilai RM55 juta hasil urusan dilakukan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad.

“Jadi tak perlu bayar dari tunai mereka. Mengikut rekod, bayaran pinjaman dibuat 2027 namun mula (bayar) 2031 hingga 2046 dengan jumlah RM248 juta tetapi hanya bayar sebanyak RM193.7 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Baru-baru ini, Air Selangor memaklumkan akan meningkatkan penggantian paip air daripada 150 kilometer kepada 300 kilometer setahun bermula tahun ini, diikuti 400 kilometer setahun bermula 2034.

Inisiatif itu susulan pelarasan tarif air baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.


Pengarang :