Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja penukaran paip injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tarif baharu air bantu lipat ganda kerja ganti paip usang

SHAH ALAM, 18 JAN: Tarif baharu air membantu usaha Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggandakan kerja mengganti kelengkapan usang sekali gus mengelak isu paip bocor atau pecah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelarasan tersebut memudahkan Air Selangor mengganti paip usang daripada 150km kepada 300km setahun mulai tahun ini.

Menjelaskan pelarasan itu pertama kali dalam 18 tahun, beliau berkata pembinaan loji rawatan baharu juga diperkukuh bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang 2030.

“(Ini) termasuk melipat ganda kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara semalam, tarif naik purata 22 sen setiap meter padu kepada pengguna domestik di semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari.

Amirudin juga menambah tahap kualiti air kepada rakyat kekal pada tahap 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan Negeri melalui Air Selangor juga akan memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih responsif dan efisien kepada rakyat termasuk penaiktarafan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Beliau menambah Kerajaan Selangor menyerap sebahagian tarif baharu air dianggar RM40 juta setahun untuk penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) selain rumah ibadah dan kebajikan.

Katanya, lebih sejuta rakyat atau 285,673 akaun penerima air percuma itu menerima tanggungan kos yang meningkat RM1.60 kepada RM13 bagi setiap isi rumah.

Jelasnya, pentadbiran negeri menampung peningkatan kos dari RM31.8 juta kepada RM37.3 juta setahun, manakala RM2 juta untuk rumah ibadah dan kebajikan.

Amirudin menyeru rakyat berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon air percuma untuk melayari laman sesawang https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/

Air Selangor menyediakan perkhidmatan bekalan kepada lebih lapan juta penduduk meliputi 2,661,743 akaun mencakupi pengguna domestik dan bukan domestik, dari perusahaan kecil hingga multinasional.

Berikut gambar rajah tarif baharu air:

*Bagi kategori domestik, caj baharu penggunaan air hingga 20 meter padu (m3) adalah RM0.65

*Bagi bukan domestik, caj baharu penggunaan air hingga 35 meter padu adalah RM2.70


Pengarang :