Pesawah melakukan penanaman padi secara tradisional ketika tinjauan di Kampung Parit Empat, Sekinchan pada 21 Julai 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kaji harga siling beras putih tempatan, bantu tingkat pendapatan pesawah

KUALA SELANGOR, 6 APRIL: Sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula harga siling beras putih tempatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesawah, kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Dato’ Ng Suee Lim berkata ketika ini harga siling yang ditetapkan adalah RM26 untuk 10 kilogram (kg) beras tempatan dan ia tidak pernah dikaji semula sejak 16 tahun lalu.

Menurutnya harga berkenaan menyebabkan pengilang rugi dan terpaksa membeli padi pada harga rendah sekali gus memberi kesan terhadap pendapatan pesawah.

“Sudah tiba masanya satu solusi dibuat. Sebagai contoh, kerajaan boleh naikkan harga beras putih tempatan kepada RM34 untuk 10kg beras atau apungkan harganya.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim pada sidang media di Kompleks Beras Bernas, Tanjung Karang pada 5 April 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Saya sudah menjadi wakil rakyat di Sekinchan lima penggal dan saya tahu apa masalah yang dihadapi pesawah sejak sekian lama. Harga itu sudah tidak relevan,” katanya pada sidang media di Kompleks Beras Bernas, Tanjung Karang di sini semalam.

Suee Lim menambah cadangan itu sudah diutarakan menerusi surat rasmi kepada Perdana Menteri serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu awal bulan ini.

Dalam pada itu, wakil rakyat Sekinchan itu turut berharap kerajaan dapat menyelaras semula harga lantai beras kepada RM1,600 satu tan berbanding RM1,300 ketika ini.

Katanya harga lantai beras ketika ini masih tidak dapat menjamin pendapatan pesawah khususnya kira-kira 9,000 pengusaha tanaman padi di anjung utara Selangor.

“Kita tidak boleh abaikan nasib petani. Masa depan mereka samar. Saya bimbang pada masa akan datang tiada orang mahu tanam padi kerana tiada golongan belia yang mahu warisi,” katanya.

Pada Oktober 2023, kerajaan mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 satu tan berbanding RM1,200, iaitu kadar yang ditetapkan sejak 2014.

 


Pengarang :