Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah berhenti seketika, kembali temui orang ramai 16 April

SHAH ALAM, 9 APR: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) berhenti seketika selama lapan hari mulai semalam.

Agensi berkenaan menerusi Facebook memaklumkan jualan barangan keperluan asas pada harga murah akan kembali menjelajah ke serata Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April.

“JER akan berehat bermula 8 hingga 15 April sempena hari pelepasan am Hari Raya Aidilfitri dan akan kembali memulakan operasi jualan pada Selasa (16 April) Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :