Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor ketika program penyerahan baucar subsidi tambang bas sekolah dan sumbangan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sekitar Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Inisiatif negeri bersifat menyeluruh, semua kaum terima manfaat

HULU SELANGOR, 26 APRIL: Segala inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat berteraskan keadilan yang merangkumi semua kaum dan lapisan masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak mentadbir pada 2008 dasar Kerajaan Negeri adalah menjaga kebajikan semua dan tidak terbatas kepada kepentingan kaum, kelompok atau komuniti tertentu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor dan sumbangan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sekitar Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Negeri ini adalah untuk semua. Kerajaan ini adalah kerajaan yang cuba untuk memberikan kebajikan dan menjaga semua.

“Saya sebagai orang Islam bukan hanya tengok (tumpu) orang Melayu atau Islam saja, saya juga kena pastikan masyarakat Tionghua dan India yang saya anggap kawan dan keluarga dijaga dengan baik dan hidup aman dalam Selangor,” katanya di sini malam tadi.

Terdahulu Amirudin menyempurnakan program Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali.

Menurut beliau, segala dasar yang diketengahkan Kerajaan Negeri bersifat menyeluruh dan seimbang bagi memastikan semua pihak berpeluang membaiki kehidupan dan maju bersama.

“Sebagai ketua di negeri ini saya bertanggungjawab untuk memastikan semua rakyat di Selangor dijaga dan dikelola dengan sebaiknya bagi memastikan semua mendapat keadilan dan peluang (saksama) di negeri bertuah ini.

“Kerajaan hari ini bukan saja (menyatakan) komitmen atau berjanji tetapi telah terbukti kita mampu untuk menjaga dan pelihara segenap lapiran rakyat tanpa ada yang menjadi kelas kedua atau kelas ketiga. Anda semua sama atas nama rakyat Selangor,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima baucar subsidi tambang bas sekolah di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis itu, Amirudin turut menyampaikan baucar sumbangan subsidi tambang bas sekolah kepada 324 pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar Hulu Selangor melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM97,200.

Amirudin turut menyempurnakan simbolik penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor berjumlah RM133,400 untuk manfaat 26 penerima daerah Hulu Selangor yang menerima mesin atau peralatan untuk perniagaan masing-masing.

Majlis itu turut menyaksikan sembilan SJKT sekitar daerah ini menerima dana untuk pembaikan infrastruktur berjumlah RM45,000.


Pengarang :