Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong (mendiang) ketika menyampaikan sumbangan beg sekolah dan alat tulis kepada ahli Tawas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 26 Februari 2023. Foto Facebook Lee Kee Hiong
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan penduduk B40 Kuala Kubu Bharu nikmati bantuan negeri

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ribuan penduduk Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor menikmati pelbagai bentuk bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri sejak pilihan raya negeri Selangor berakhir Ogos lalu.

Sumbangan menerusi Inisiatif Selangor Penyayang meliputi ibu tunggal, warga emas dan murid dari kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) antara Ogos 2023 hingga Mac 2024.

Bantuan tersebut disalur Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang diterajui Lee Kee Hiong semasa hayatnya sebelum meninggal dunia pada 21 Mac akibat barah.

Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menghulurkan bantuan makanan dan barangan keperluan lain ke Rumah Sejahtera Warga Emas Kerling pada 7 Julai 2021. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Seramai 336 ibu tunggal menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), dahulunya Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), yang berjumlah RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Berikut pecahan kaum penerima:

  • 161 Melayu
  • 40 Cina
  • 100 India
  • 35 Orang Asli

Seramai 7,962 warga emas pula penerima Skim Mesra Usia Emas berbentuk baucar Jom Shopping bernilai RM200 seorang dalam tempoh sama.

Berikut pecahan kaum penerima:

  • 2,624 Melayu
  • 3,857 Cina
  • 1,338 India
  • 143 lain-lain
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong (mendiang) bersama dua warga emas yang menerima baucar Jom Shoppimg Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 7 Februari 2023. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Seramai 405 murid yang didaftar dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) menerima bantuan kelengkapan persekolahan iaitu:

  • beg sekolah
  • alat tulis
  • bekas makanan
  • tabung

Selain tiga daripada lebih 40 insentif yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang, penduduk setempat yang layak juga menerima sumbangan wang tunai antaranya:

  • 11 keluarga di Kampung Sungai Jang Kerling
  • RM12,300 untuk penghidap penyakit kronik

Seramai 240 penunggang motor pula menerima bantuan minyak hitam bernilai RM40 bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pada 24 April, Pang Sock Tao, 31, setiausaha akhbar menteri perumahan dan kerajaan tempatan diumum sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) susulun kekosongan kerusi DUN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Mei dan hari pembuangan undi (11 Mei) bagi pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

Dalam pilihan raya negeri pada Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional Teoh Kien Hong dalam saingan empat penjuru dengan majoriti 4,119 undi.

Pertama kali beliau mewakili kawasan tersebut apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dan tiga calon Bebas pada 2013 dengan majoriti 1,702 undi.

Terdapat 40,226 pengundi dalam DUN Kuala Kubu Baharu seluas 617 km persegi. Pengundi Melayu meliputi 62.8 peratus, Cina (18.5 peratus), India (18.2 peratus) dan lain-lain (0.5 peratus).


Pengarang :