Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya’ Ramadan) bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sultan titah waspada kelompok perguna agama pengaruhi rakyat (TEKS PENUH)

Teks penuh titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika perasmian Masjid Damansara Perdana di Petaling Jaya pada 5 April.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Beta diberi kesempatan untuk hadir pada petang ini bagi merasmikan masjid ke-10 dan juga yang terakhir bagi bulan Ramadan tahun 2024 bersamaan tahun 1445 Hijrah kali ini.

Beta ingin mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta semua pihak yang terlibat, termasuk jawatankuasa pengurusan setiap masjid-masjid di Negeri Selangor yang bertanggungjawab menganjurkan Majlis-majlis Ihya’ Ramadan tahun ini.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Beta telah dapat menyampaikan sumbangan Hari Raya daripada Lembaga Zakat Selangor yang telah dikelolakan oleh Jais kepada seramai 5,183 orang yang terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan mualaf di daerah-daerah negeri Selangor membabitkan jumlah keseluruhan RM2,591,500.

Selain daripada itu, Beta difahamkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi sumbangan kepada 11,386 orang anak-anak yatim di Negeri Selangor sempena sambutan Hari Raya pada tahun 2024 yang telah disampaikan oleh Raja Muda Selangor.

Sesungguhnya Beta berasa bangga dan terharu melihat sendiri perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang dipamerkan oleh orang-orang Melayu Islam di negeri yang Beta kasihi ini khususnya pada bulan yang mulia ini.

Beta berharap orang-orang Melayu akan terus mengambil jalan perpaduan dan memperkukuh keharmonian demi menunjukkan kekuatan bangsa dan ummah.

Sekiranya negeri Selangor yang terdiri daripada rakyat yang berbilang bangsa dan agama ini ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama yang terjalin di kalangan rakyat sekarang ini hendaklah dipertahankan dan perlu terus ditingkatkan.

Jauhkan daripada sikap berprasangka buruk antara satu dengan yang lain dan hendaklah kita sentiasa suburkan sikap toleransi demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negeri Selangor ini.

Negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan.

Oleh itu Beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama ini dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat.

Agenda tersembunyi

Pemimpin-pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita.

Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri Beta ini dijauhi daripada sifat dan sikap yang tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan juga mencaci. Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media-media sosial.

Apa yang membimbangkan Beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam ini telah mula menular di kalangan segelintir golongan terpelajar.

Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuan dan telah cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah-hujah mengenai isu-isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah melayu ‘ada udang di sebalik batu’ dalam setiap tindakan yang dibuat.

Mereka ini menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam di negara ini berpecah belah.

Oleh yang demikian, Beta suka menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama’ sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Akhir sekali, Beta ingin mengajak seluruh umat Islam supaya dapat terus meningkatkan amal ibadah di penghujung bulan Ramadan tahun ini dan dapat menjalani kehidupan berpandukan ajaran Al-Quran, insya-Allah, kita akan sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan dijauhi dari malapetaka dan bencana.

Beta mendoakan semoga segala amalan dan ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan ini akan mampu menambah ketakwaan dan keimanan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, dalam usaha kita menjadi hamba-Nya yang taat.

Di kesempatan ini, Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Negeri Selangor yang amat Beta kasihi. Sambutlah lebaran kali ini dengan penuh rasa kesyukuran.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid Damansara Perdana.

Sekian,
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Pengarang :