Kuala Kubu Bharu atau dipanggil KKB oleh penduduk tempatan, terletaknya pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor yang lengkap, Terdapat banyak deretan bangunan lama di Kuala Kubu Bharu ketika tinjauan pada 14 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK KKB: Cuaca pada pagi hari penamaan calon diramal baik, hujan lebat sebelah petang

SHAH ALAM, 27 APRIL: Cuaca pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini, diramalkan baik pada sebelah pagi.

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan, hujan lebat dan ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang.

Pada sebelah malam, katanya, cuaca diramalkan baik dan tiada hujan.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca diramal baik di sebelah pagi di Kuala Kubu Baharu esok, manakala ribut petir dan hujan di sebelah petang dan malam.


Pengarang :