Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao berucap ketika sesi ‘walkabout’ beramah mesra bersama penduduk orang asli di Kampung Tun Abdul Razak , Hulu Selangor pada 29 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Kuala Kubu Baharu, calon Kerajaan Perpaduan bentang manifesto Jumaat

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Calon Kerajaan Perpaduan Selangor akan membentangkan manifesto kepada masyarakat Kuala Kubu Baharu pada Jumaat ini.

Pang Sock Tao, calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berkata tawaran merangkumi inisiatif kebajikan dan rancangan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Berkenaan pembangunan di kawasan ini atau apa-apa perancangan kepada masyarakat, saya akan umumkan manifesto pada Jumaat. Saya akan berikan butirannya.

“Isu yang relevan adalah apa tawaran dan rancangan kita kepada masyarakat. Saya akan umumkan melalui manifesto saya nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asal di Kampung Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Pada 21 Mac, Kee Hiong meninggal dunia akibat barah yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu. Berikutan itu, pilihan raya kecil ditetapkan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK berkenaan yang ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum 2023. Terdapat seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.


Pengarang :