EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (dua, kiri), Dato’ Mohmed Misbun Mohd Sidek (kiri) dan Dato’ Mohd Jalani Mohd Sidek (kanan) melakukan gimik perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Sambutan luar jangka, cadang Pameran Anak-anak Sidek dilanjut

KUALA SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Negeri bercadang melanjutkan Pameran Anak-anak Sidek sekurang-kurangnya sebulan lagi susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata sejak dianjur pada November tahun lalu, pameran yang menelusuri kejayaan lima beradik dalam sukan badminton menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

“Pameran akan tamat esok (hari ini) tetapi saya akan berbincang dengan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) untuk melanjutkan pameran ini sekurang-kurangnya sebulan lagi.

“Sebelum ini bulan puasa, kemudian hari raya mungkin kurang pengunjung. Insya-Allah ribuan lagi pengunjung akan datang jika pameran ini dilanjutkan. Kita mahu kejayaan anak-anak Sidek dalam sukan badminton menjadi inspirasi kepada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Solidariti Gaza Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini, semalam.

Pameran Anak-anak Sidek yang diadakan sehingga 30 April depan menceritakan kejayaan keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar membentuk lima anak lelakinya sebagai pemain badminton ternama dunia.

Allahyarham hanya melatih Misbun, Razif, Jalani, Abdul Rahman dan Abdul Rashid di gelanggang kediamannya di Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat.

Antara koleksi dipamerkan adalah pingat kejuaraan kejohanan dunia World Cup Badminton, Men Doubles Winne, All England, Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan cenderamata dihadiahkan kepada mereka lima beradik.

Sebagai tarikan, sepanjang pameran itu berlangsung turut diadakan pertandingan teka bulu tangkis, kuiz, pertandingan mewarna dan klinik badminton.

 


Pengarang :