Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir untuk membeli barang keperluan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di JMB Pangsapuri Andorra, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Perluas JER di hujung minggu, mudahkan penduduk dapatkan barangan asas murah

SHAH ALAM, 20 MEI: Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning berhasrat memperluas jualan murah pada hujung minggu di lokasi terpilih.

Ramu Nadarajan berkata langkah tersebut bagi memudahkan lebih ramai penduduk yang tidak berkesempatan mendapatkan bekalan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada hari bekerja dapat membeli di hujung minggu.

Ahli Majlis MBSA Zon 9, Ramu Nadarajan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di JMB Pangsapuri Andorra pada 20 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Sejak Ogos tahun lalu, sebanyak tujuh kali JER dianjurkan di sini yang telah manfaatkan lebih 7,000 penduduk menunjukkan keperluan adalah tinggi.

“Jika Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) boleh beri ruang anjur lebih kerap di hujung minggu, ia akan memberi lebih banyak peluang buat penduduk untuk berbelanja barangan dapur pada harga murah sekali gus meringankan beban mereka,” katanya.

Ahli Majlis Zon 9 itu menambah sebanyak 500 ayam dan 300 papan telur terjual dalam tempoh kurang dua jam pada JER di Pangsapuri Andorra di sini hari ini.

Dorasamy Sagavatham, 68,

Sementara itu, warga emas Dorasamy Sagavatham, 68, berpandangan JER meringankan beban golongan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk mendapatkan bekalan asas pada harga berpatutan.

“Saya dapat berjimat hingga RM150 banding beli di luar. Saya harap program ini akan diadakan lebih kerap kerana sangat membantu golongan kurang mampu,” katanya.

Pengunjung, Irasdiah Kosen, 43, pula mengakui JER bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan barangan asas malah membantu orang ramai berjimat berbanding berbelanja di pasar raya.

Irasdiah Kosen, 43,

“Sangat berbaloi berbelanja di sini, JER bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan malah memudahkan orang ramai mendapat barangan dapur,” kongsinya.

Mereka antara 250 penduduk hadir untuk mendapatkan barangan dapur murah dengan sebahagiannya mula beratur sejak 9.30 pagi.

Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir untuk membeli barang keperluan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di JMB Pangsapuri Andorra, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

 


Pengarang :