KLANG, 4 JUN: Kualiti barangan setanding pasar raya meskipun dijual murah berbanding harga pasaran menyebabkan orang ramai sentiasa menanti program Jualan Ehsan Rahmah (JER).
Suri rumah Noriza Abdul Jabar, 39, berkata beliau sudah datang ke program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu lebih lima kali dan berpuas hati dengan kualiti produk dijual.
“Saya memang selalu datang tiap kali jualan diadakan di sekitar Kampung Bukit Kerayong sebab harga ayam, telur dan beras murah.
“Walaupun harganya murah berbanding pasaran luar, kualiti barangan terjamin contohnya ayam masih segar dan beras juga tahan lama,” katanya ditemui di program tersebut di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kerayong di sini, hari ini.
Sementara itu, Haslin Jamil,48, berkata program jualan murah itu dapat bantu jimatkan puluhan ringgit belanja dapur sekali gus meringankan beban suami.
“Suami bekerja sendiri dan perlu menyara dua anak masih bersekolah. Apabila ada jualan murah ini dapat membantu meringankan beban suami terutama ketika harga barang semakin meningkat.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan dengan memfokuskan penempatan atau kawasan kurang berkemampuan supaya dapat membantu lebih ramai rakyat memerlukan,” katanya.
Bagi Muhammad Abdul Adzim Mohamed Ropi, 31, ini merupakan pertama kali beliau datang ke program jualan untuk membeli barangan dapur.
“Sebelum ini, saya dan isteri hendak datang tetapi tidak berkesempatan kerana waktunya tidak sesuai dan perlu bekerja.
“Setibanya ke program ini, tidak sangka harganya memang murah selain boleh beli barangan keperluan lain lagi seperti biskut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Kapar Muhammad Ezamuddin Mohd Razi berkata penganjuran jualan murah itu dianjurkan di sekitar kawasan ini sebanyak enam kali sepanjang tahun ini.
“Kita tidak dapat anjurkan program ini kerap kerana ada sistem penggiliran. Untuk hari ini, penduduk menunggu seawal jam 8 pagi dan jualan bermula satu jam kemudian.
“Antara yang laris adalah beras, ayam dan keseluruhan barangan habis terjual sekitar jam 11.45 pagi. Untuk lokasi seterusnya akan diadakan di Dewan Tok Muda pada 6 Jun depan,” katanya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.