Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Usahawanan Najwan Halimi (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah (kiri) dan Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor memegang plakad pada majlis peluncuran logo Plats Biaya kolaborasi bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Skim PLATS Biaya bantu gilap potensi usahawan, luas pasaran secara digital

SHAH ALAM, 5 JUN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menawarkan skim pembiayaan khas kepada usahawan Platform Selangor (PLATS) bagi menggilap potensi perniagaan mereka.

Dinamakan PLATS Biaya, skim itu menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan terus memperkasa usahawan untuk meluaskan pasaran khususnya ke arah pendigitalan.

Menurutnya, kolaborasi antara Hijrah Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI disediakan buat usahawan bawah program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS).

“Pada peringkat awal, seramai 120 usahawan akan diberikan pembiayaan sebanyak RM3,000,” katanya pada majlis pelancaran logo PLATS Biaya di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan peluncuran logo Plats Biaya kolaborasi bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Hijrah Selangor berkata usahawan terlibat akan menerima caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan takaful tajaan agensi berkenaan.

Dato’ Mearia Hamzah menjelaskan peserta juga boleh meneruskan lagi permohonan pembiayaan tambahan melalui skim mikrokredit Hijrah Selangor sedia ada selepas menerima skim tersebut.

“Apa yang diharapkan semoga penerima akan memanfaatkan pembiayaan ini serta membuat bayaran balik sewajarnya melalui tempoh ansuran selama satu tahun yang diberikan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Saipolyazan M Yusop pula berkata pembiayaan itu akan menggerakkan ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang juga enjin pertumbuhan negeri.

“Saya juga sarankan peniaga supaya mendaftarkan perniagaan mereka melalui PLATS dan rebutlah peluang yang ditawarkan,” katanya.

Tahun lalu, MBI memperkenal program U-PLATS bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :