Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community Nurul Azwa Mohd Rodzi memberi penerangan program Latihan Pembangunan Usahawaan PLATS (U-PLATS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 4 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PLATS perkenal program baharu, latih usahawan urus niaga secara digital

SHAH ALAM, 5 SEPT: Platform Selangor (PLATS) memperkenalkan program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) sebuah inisiatif baharu bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Ketua pegawai operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata seramai 360 usahawan bakal menerima manfaat daripada program anjuran agensi itu yang diselia oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Saipolyazan M Yusop menambah usahawan yang terlibat akan mengikuti tiga modul latihan selama tiga bulan berdasarkan sistem penggiliran PBT mulai bulan ini hingga Mac tahun depan.

“Modul diberikan berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.

“Pemantauan akan dilakukan selama setahun daripada aspek jualan secara atas talian, kewujudan secara digital dan jalinan digital. Lima usahawan berpeluang memenangi hadiah geran perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi penerangan U-PLATS, semalam.

Bertempat di Hotel Mardhiyyah, Seksyen 14 di sini, program berkenaan turut dihadiri EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) menerima baju PLATS daripada Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Saipolyazan Mat Yusop (kiri) ketika Sesi Penerangan Program Latihan Pembangunan Usahawaan PLATS (U-PLATS) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 4 September 2023. Turut sama Ketua Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mohd Najwan menjelaskan usahawan perlu ambil peluang dalam mempelajari ilmu bidang ekonomi baharu dan memanfaatkan perniagaan secara digital.

“Menerusi program ini usahawan diberikan latihan dan ‘input’ bagaimana adaptasi ekonomi digital. PLATS sudah ada sejak 2020 dan kini meneruskan usaha membantu peniaga menerusi U-PLATS.

“Peniaga perlu mempelbagaikan pendekatan daripada konvensional kepada digital iaitu tanpa premis dan hanya perlu berdaftar dengan PBT sahaja boleh jalankan perniagaan,” katanya.

Usahawan berminat boleh layari laman sosial rasmi PLATS atau platselangor.com

Syarat penyertaan adalah seperti berikut:

  • berdaftar di PLATS
  • miliki permit atau lesen daripada PBT
  • jalankan perniagaan di Selangor
  • miliki lokasi fizikal perniagaan (terbuka kepada penjaja/ trak makanan)
  • khusus untuk rakyat Selangor atau bermastautin lebih 5 tahun

Pengarang :