Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi jualan mega barangan asas sempena Aidiladha di tiga lokasi hari ini

SHAH ALAM, 14 JUN: Jualan mega barangan asas sempena Aidiladha kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di tiga lokasi hari ini.

Bermula 9 pagi, orang ramai boleh mengunjungi Jualan Mega Ehsan Rahmah di dataran Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan (Pandan Indah), dataran Pantai Batu Laut Tanjong Sepat (Tanjong Sepat) dan pekarangan kompleks penghulu mukim Hulu Langat (Dusun Tua).

Jualan sama diteruskan pada Sabtu di Laman Boungainvillea Kampung Sungai Kertas Batu Caves (Sungai Tua), pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu (Kuala Kubu Bharu) dan tapak pasar malam Taman Kem (Pelabuhan Klang).

“Jualan Mega Ehsan Rahmah sempena Aidiladha kini kembali. Jom ramai-ramai kita lakukan persediaan menjelang hari raya pada Isnin depan,” maklum PKPS di Facebook.

Sempena sambutan Aidilfitri pada April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :