PETALING JAYA, 21 JUN: Sejumlah 4,176,838 juta kilogram (kg) barangan kitar semula dikumpul sejak 2021 hingga 2023 melalui PJ Eco Recycling Plaza iaitu projek pamer sisa hasil dari pengasingan sampah yang diusahakan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal MBPJ Zain Azly Abdul Rahman berkata, 2023 merekodkan jumlah kutipan tertinggi 1,674,611 kg diikuti 2022 (1,579,217 kg) dan 2021 (923,010 kg).
“Untuk 2023, antara barangan yang paling banyak dikumpul adalah kotak karbon iaitu 651,156 kg diikuti plastik (365,726 kg) dan botol (182,823 kg).
“Barangan kitar semula yang lain adalah tin logam merekodkan kutipan 105,992 kg manakala tin aluminium (34,996 kg), minuman karton (16,177 kg) dan elektronik (7,130 kg),” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/RMS19-500x280.jpg.webp)
Beliau ditemui selepas lawatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sempena program Gagasan Rumpun Selangor di sini semalam.
Beliau menambah selain pusat pengumpulan barangan kitar semula, bangunan plaza itu turut dilengkapi bengkel upcycling, sudut pameran 3R, bilik kemudahan seminar dan ruang aktiviti kanak-kanak yang dibuka kepada orang ramai sejak April 2023.
“Projek Eco Recycling Plaza ini juga melibatkan kerjasama antara MBPJ dengan enam rakan strategik dari sektor korporat seperti Syarikat F&N, Spark Foundation, CH Green, INTCO, Impact Lution dan Tetra Park.
“Tahun ini hingga Mei plaza ini menerima kehadiran 6,379 pengunjung manakala pada 2023 seramai 10,630 orang,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/RMS6-1-500x336.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/RMS5-500x335.jpg.webp)