SUBANG JAYA, 1 JULAI: Ribuan masyarakat menyokong inisiatif pemberian makanan percuma, Dapur Kinrara sejak dilancar ketika tempoh pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya Ng Seow Chen berkata program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara masih diteruskan setiap Ahad.
“Kita mengalu-alukan orang ramai tidak kira apa jua bangsa hadir ke Balai Masyarakat Puchong Jaya, berdepan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara untuk mengambil makanan percuma ini bermula jam 11.30 pagi.
“Syaratnya cuma mereka perlu bawa bekas makanan sendiri, ini merupakan inisiatif kita untuk menggalakkan amalan kitar semula,” katanya pada Jualan Ehsan Rahmah di Bandar Puchong Jaya di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/07/AMY636711-500x334.jpg.webp)
Seow Chen menjelaskan pihaknya turut menyediakan perpustakaan kanak-kanak pada hari edaran makanan tersebut bagi menggalak amalan membaca.
“Justeru, ibu bapa dipelawa untuk membawa anak mereka ke sini pada hujung minggu selain digalak menderma buku genre kanak-kanak kepada perpustakaan ini.
“Inisiatif baharu ini bertujuan menggalakkan amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Pejabat DUN Kinrara mewujudkan dapur berpusat bagi mengagihkan makanan tengah hari secara percuma kepada golongan memerlukan selepas ramai penduduk memohon bekalan makanan bermasak sepanjang tempoh pandemik Covid-19.