SHAH ALAM, 3 JULAI: Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri di empat lokasi sepanjang bulan ini, bermula 9 pagi hingga 3 petang.
Program Selangor Saring diadakan pada 6 Julai di Dewan Meranti MBSA Bandar Baru Sungai Buloh (DUN Paya Jaras), 7 Julai di Dewan Orang Ramai Dengkil (DUN Dengkil), 14 Julai di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai (DUN Sungai Tua) dan 20 Julai di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan (DUN Batu Tiga).
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu menyediakan saringan kesihatan seperti jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, kanser, mata, telinga dan gigi.
“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program Selangor Saring. Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma. Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika ada masalah pendaftaran,” katanya Facebook.
Beliau menyarankan orang ramai mendaftar program Selangor Saring menerusi empat langkah berikut:
- Memuat turun aplikasi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
- Tekan butang Selangor Saring
- Isi borang soal selidik
- Pilih lokasi dan tarikh program
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.