Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka Amerika Syarikat yang juga Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Proffesor Jeffrey D. Sachs di Bangunan Parlimen pada 3 Julai 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar terima kunjungan pemikir terkemuka AS, bincang isu ekonomi, serantau

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam menerajui aspek berkaitan sains, teknologi, peralihan tenaga, digital dan kemampanan alam sekitar terutamanya menjelang kepengerusian ASEAN tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui Presiden UN Sustainable Development Solutions Network Profesor Jeffrey D. Sachs dalam pertemuan mereka ketika beliau menerima kunjungan hormat tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka Amerika Syarikat itu di bangunan Parlimen hari ini.

“Perbincangan kami seputar isu global dan serantau berkait perihal ekonomi, teknologi dan digital, kemampanan alam sekitar serta situasi geopolitik di rantau ini serta di peringkat dunia, termasuk perihal persaingan antara China dan Amerika Syarikat, dan peranan negara-negara ASEAN terutamanya Malaysia.

“Saya tegaskan bahawa Malaysia punyai hala tuju yang jelas serta dasar-dasar yang penting seperti sasaran karbon sifar bersih pada tahun 2050, kemajuan dalam melaksana objektif-objektif Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga serta Strategi Semikonduktor Nasional sebagai usaha dan upaya dalam melonjak darjat serta martabat negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

— BERNAMA


Pengarang :