Ahmad Akiff Ahmad Fahmi dan Nur Nuha Syuraihah Nor Ramzani meluangkan masa membaca buku ketika Pesta Buku Kanak-kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 28 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jom meriahkan pesta buku kanak-kanak, bermula hari ini di Kompleks PKNS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Orang ramai dipelawa memeriahkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, bermula hari ini hingga Ahad.

Acara dari 10 pagi hingga 10 malam anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan aktiviti untuk seisi keluarga.

“Tanda kalendar anda dan bersedia untuk jadual yang padat dengan aktiviti, persembahan menarik dan cabutan bertuah RM500 kepada 20 pemenang setiap hari. Datang beramai-ramai ya!,” maklum PPAS di Facebook.

Pada 13 Julai, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata lebih 100,000 pengunjung disasar hadir ke Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.

Sempena pesta buku itu, peminat kartun dan siri animasi juga berpeluang menyaksikan proses kreatif penghasilan watak kartun ikonik Malaysia.

Antara kartunis dan ilustrator yang mengambil bahagian ialah pelopor komik gerak, Tunku Yusrina Tunku Nazrin, tokoh kartunis ikonik, Imuda dan artis komik Shamsaimun Ezil atau Along Sam yang sinonim dengan watak superhero ‘Keluang Man’.

Sepanjang lima hari berlangsung, pesta itu juga menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dengan 20 pemenang akan ditentukan secara rawak setiap hari menerusi proses cabutan sekali gus layak menerima RM500.

Selangor julung kali menganjurkan pesta buku kanak-kanak pada Julai tahun lepas bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Negeri ini juga sejak 16 tahun lalu turut mengadakan Pesta Buku Selangor yang dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai 2022.


Pengarang :